Monday, August 15, 2011

"Pak Pandir" jadi popular dalam media UMNO dan Pas?

Pas Macam Pak Pandir Untuk Selamatkan Diri Dalam Isu JAIS – Gereja

(Dipetik dari UMNO Online)

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Pas dilihat seperti Pak Pandir dalam mencari jalan selamat berhubung isu membabitkan JAIS dengan sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini dengan menuduh UMNO sebagai dalang terhadap apa yang berlaku.

Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamad menyifatkan tuduhan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sebagai tuduhan liar serta tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk menyelamatkan diri apabila melihat isu berkenaan memberi tekanan kepada parti itu termasuk di kalangan penyokongnya.

“Pas kini berada dalam keadaan tertekan, isu berkenaan telah menyebabkan parti terbahagi kepada dua, satu pihak menyokong dan mempertahankan apa yang dilakukan oleh JAIS, manakala satu pihak lagi cuba bermain selamat dengan mengatakan itu bukan tindakan Pas tetapi adalah tindakan kerajaan negeri.

“Kita nak tanya dengan pemimpin Pas terutamanya Timbalan Pesuruhanjaya Pas Selangor (Khalid Samad), Selangor ini diperintah siapa, bukankah diperintah oleh pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas, PKR dan DAP.

“Bukankah Dr Hasan Ali itu, exco kerajaan negeri yang mewakili Pas, bagaimana dia boleh mengatakan kenyataan Hasan Ali sebagai kenyataan kerajaan negeri bukannya kenyataan Pas Selangor. Apakah dalam perkara ini Pas tidak bersama dengan kerajaan negeri dan Hasan Ali adalah wakil individu,” katanya kepada UMNO-Online.

Mohd Zin berkata, tindakan Pas menuding jari kepada UMNO bukanlah perkara baru, malah Pas akan cuba mencari jalan untuk menjadikan mana-mana pihak termasuk individu sebagai kambing hitam terhadap apa jua masalah yang dihadapi.

“Datuk Mustapha Ali (Setiausaha Agung Pas) cuba menyelamatkan Pas dalam masalah JAIS dengan pihak gereja, untuk itu mereka tuduh UMNO sebagai dalang, sebelum ini Dr Hasan Ali menjadi kambing hitam apabila menyifatkan tindakannya sebagai tindakan peribadi bukannya parti.

“Tuduhan Pas kepada UMNO untuk menyelamatkan diri, bukanlah pertama kali berlaku, sebelum ini juga Pas turut menuding pihak lain jika dilihat perkara itu boleh memberi kesan kepada hubungannya dengan parti lain dalam pakatan pembangkang.

“Pas ini bolehlah dinaggap sebagai sebuah parti sesumpah, boleh bertukar apa sahaja, kalau dulu sebagai parti Islam, kini jadi parti berkebajikan, ini semua hendak pasti mereka dapat duduk bersama dengan DAP,” katanya.

Menurutnya, Pas kini berada dalam keadaan tertekan berhubung isu berkenaan kerana sebelum ini mereka cuba menjadi juara kepada bukan Islam dengan mengatakan tiada pembabitan parti itu berhubung apa yang berlaku.

Namun apa yang dilakukan itu telah memberi kesan sehingga menyebabkan sokongan orang Islam dan Melayu kepada parti itu mula goyah kerana sikap kepimpinan parti itu yang dilihat lebih mengutamakan kepentingan politik daripada kepentingan agama dan orang Melayu.

“Pas kini sudah tidak punyai hala tuju, sejak mereka bersama DAP dan PKR, Pas sudah hilang suara dalam memperjuangkan hak orang Islam dan Melayu di negara ini, mereka terpaksa tunduk kepada DAP untuk kepentingan politik.

“Berikutan ada desakan dalam Pas berhubung isu berkenaan, Pas terpaksa menuduh UMNO sebagai dalang dan berharap apa yang berlaku adalah perancangan UMNO menggunakan JAIS,” katanya.

Mohd Zin berkata, UMNO tidak pernah berkompromi apabila membabitkan isu agama serta kepentingan dan hak orang Melayu di negara ini, namun apa yang diperjuang atau dipertahankan hak kaum dan agama lain tidak diketepikan.

“Memperjuangkan hak serta kepentingan orang Melayu dan Islam adalah perjuangan UMNO. UMNO konsisten dalam perkara ini, namun kepentingan kaum dan agama lain turut dipertahankan bagai memastikan rakyat negara ini hidup aman,” katanya.

Beliau berkata, berhubung isu membabitkan agama dan kaum di negara ini, sudah ada persefahaman antara UMNO dengan parti komponen lain dalam Barisan Nasional apabila membabitkan isu berkenaan. -MediaUMNO

Berita Bertarikh 16 August 2011 Pada 10:27 AM


Jawapan SPR macam Pak Pandir
(Dipetik dari Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS kesal dengan sikap lepas tangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini yang menyatakan “tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini” sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih negara.

“Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan "bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak.

"Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada,” bidas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Setelah diasak bertubi-tubi dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR, yang telah berkeras kepala dalam menafikan kelemahannya selama ini akhirnya terpaksa membuat pusingan U dan mengakui bahawa mereka sedar ada kelemahan dalam daftar pemilih negara.

Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Abdul Aziz sekadar menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.

“Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama ... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.

"Janganlah perbesarkan kesilapan ini, semua yang berlaku ini tidak dirancang oleh SPR, SPR bukan sengaja mahu benarkan mereka mengundi dua kali, kadang-kadang akan berlaku kesilapan semasa pendataan (oleh JPN), silap letak dan kami akan semak, kalau tak betul kami akan buang,” jelasnya sebagai reaksi balas kepada bukti-bukti yang dikemukakan PAS dan Pakatan Rakyat mengenai  isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu yang terdiri daripada ahli Umno sendiri dan nama pengundi yang tidak wujud di sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR. 
 
Ketidakikhlasan SPR dalam memperbaiki sistemnya cukup terserlah dalam isu nama Kg Baru (MyKad: 830527115422) yang didaftarkan sebagai pengundi, dimana SPR hanya menukar nama Kg Baru kepada nama pengundi “Noraini binti Abdullah” berdasarkan data JPN tanpa usul periksa mengapa kesilapan demikian boleh berlaku.

“Demikian juga pendedahan warga asing yang mendapat kerakyatan, dan didaftarkan sebagai pengundi dengan jumlah ribuan orang adalah gambaran kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR. "Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan Bersih 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Walaupun SPR dan pihak berkuasa yang di bawah telunjuk Umno Barisan Nasional terus menggambarkan perhimpunan Bersih 2.0 dengan nada yang sangat negatif, Tuan Ibrahim berkata dari segi positif perkara ini turut menyebabkan rakyat juga telah mula membuka mata dan dapat melihat betapa kotornya sistem pilihanraya negara kita yang dipenuhi dengan sampah sarap dan diancam oleh pendatang asing yang mendapat kerakyatan dan hak mengundi dengan begitu senang.

“Bayangkanlah, undi warga asing sudah boleh menentukan keputusan politik dan masa depan negara – siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?” soal Tuan Ibrahim.

SPR, katanya perlu melakukan segera satu reformasi bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

“Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihanraya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihanraya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihanraya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.

"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihanraya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya,” kata beliau.
   






p/s: nampaknya penggunaan nama Pak Pandir gemar digunakan oleh media BN dan media PR...






  

No comments: