Wednesday, October 5, 2011

Isu hudud

Masyarakat majmuk bukan alasan tolak hudud
(Dipetik dari: Harakahdaily)

Rangkaian gerakan Islam ABIM-PKPIM-WADAH merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan  gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam menyikapi isu hudud yang kembali dipolemikkan dan dipolitikkan sebagaimana  tercermin dalam kenyataan-kenyataan pelbagai pihak, termasuk yang mengeksploitasikannya dengan motif semata-mata untuk kepentingan politik sempit,  juga yang menanggapinya secara dangkal, nakal dan provokatif.

Isu penting dan berimplikasi besar ini seharusnya ditanggapi dan disikapi dengan rasa tanggungjawab keagamaan, amanah keilmuan, dan  kesedaran kewarganegaraan  sesuai dengan nilai-nilai budaya bangsa yang bertamadun dan beradab.

Bagi kaum Muslimin yang menginsafi hakikat bahawa al-Islam adalah al-din yang harus diterima secara kaffah, utuh dan menyeluruh (`aqidah dan syariatnya), pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab keagamaan.

Justeru, ia adalah bahagian daripada undang-undang jenayah (al-`uqubat) yang menjadi salah satu komponen utama syari`at Islam.  Demikianlah hakikatnya, pelaksanaan hukum hudud harus dilihat sebagai bahagian integral daripada proses pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) keseluruhannya,   meliputi segala bidang cakupannya.

Syari`at adalah cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia:  hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti `ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat.

Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`at harus difahami dalam pengertian luas,  termasuk dimensi hukum-hakamnya,  semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.  Malang sekali andainya pelaksanaan syari`at direduksikan menjadi hanya sekadar hukum “potong tangan” dan “rejam”.

Dalam menyikapi hukum Ilahi (termasuk hudud) umat Islam tidak  mempunyai pilihan selain patuh (sami`na wa ata`na),  menepati ikrar raditu bi ‘Llahi Rabban (aku redha dengan Allah sebagai Tuhan) yang berimplikasi kerelaan menerima hukum-hakam-Nya, dan pengakuan bahawa ia adalah hukum yang terbaik dan teradil.

Dalam hal ini akal manusia harus tunduk kepada wahyu, menerima hukum Tuhan seadanya, bukan memandai-mandai memperlekeh dan mempersenda hukum yang telah ditanzilkan oleh Tuhan Ahkam al-hakimin sebagai hukum yang barbaric dan zalim. Manusia mukmin sebijak mana pun seharusnya menerima hakikat bahawa Tuhanlah yang Maha Tahu apa yang membawa kebaikan dan apa yang membawa keburukan (…ya`lamu al-mufsida min al-muslih).

Apa yang ditentukan oleh Tuhan, itulah keadilan.  Tuhan tidak berkepentingan ketika menentukan sesuatu hukum, tidak seperti manusia yang selalu membuat peraturan-peraturan yang didasari motif memelihara kepentingan diri dan kelompok.

Ternyata penerimaan terhadap syari`at (termasuk hukum hudud)  sangat terkait dengan `aqidah atau iman. Justeru,  memang syari`at selamanya tegak di atas asas `aqidah. Demikianlah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan,  dan kerananya al-Qur’an selalu menyebut kedua-duanya dalam bentuk gandingan: iman dan amal salih (`aqidah dan syari`ah).  Dengan kata lain, tidak ada syari`at tanpa `aqidah.    Berasaskan premis tersebut,   bagi umat Islam persoalannya bukan lagi perlu atau tidak  melaksanakan  hudud. Yang menjadi persoalan adalah bagaimana melaksanakannya.

Syari`at Islam adalah bersifat abadi dan universal, dan kerana itu ia sesuai dan relevan sepanjang masa dan di semua tempat, termasuk dalam masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam menolak hukum hudud. Kemajmukan adalah fenomena yang tidak asing dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam. Sejak zaman Perlembagaan Madinah fenomena kemajmukan sudahpun wujud.

Penolakan atas alasan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan `aqidah kerana ia menyiratkan anggapan kelemahan hukum Allah, yang bererti juga kelemahan Allah.  Seolah-olah Tuhan terlepas pandang tentang adanya kaum Muslimin di tengah masyarakat majmuk.

Kemajmukan adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa sebagaimana hukum syari`at juga adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa.  Faham Keesaan Allah berimplikasi bahawa  segala ciptaan Allah terjalin dan terpadu dalam kesatuan tauhidik yang harmonis.

Hudud sebagai bahagian daripada syari`at adalah amanah Allah yang harus dilaksanakan dengan bijaksana (berhikmah) dan penuh tanggungjawab demi mencapai objektif keadilan Ilahi.  Untuk itu proses pelaksanaan hukum hudud harus mematuhi kaedah-kaedah perubahan yang realistik dan strategik.

Antara realiti yang harus diambil kira termasuklah hakikat bahawa pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia ketika ini diperjuangkan menerusi proses demokrasi, dan dalam kerangka perlembagaan negara. Selain itu ia juga diperjuangkan di tengah masyarakat majmuk, dan di tengah suasana wujudnya masalah al-ummiyyat al-diniyyah atau gejala “buta agama” yang cukup fenomenal.

Mengambil kira realiti tersebut, perjuangan melaksanakan syari`at harus didasarkan kepada fiqh al-awlawiyyat, perubahan yang menepati urutan keutamaan dengan mengenalpasti apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan.

Perjuangan melaksanakan syari`at juga harus menepati kaedah dan pendekatan al-tadarruj, beransur-ansur, subtle dan gradual.   Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan (hidup dalam kawalan syari`at dan hududu ‘Llah).

Para penguasa perlu dipersiapkan dengan political will, tekad politik yang kental untuk melaksanakan syari`at.  Rakyat massa pula harus dipersiapkan dengan ilmu, kefahaman dan kesedaran keagamaan agar siap mendukung pelaksanaan syari`at. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. Dengan demikian pelaksanaan syari`at  tidak akan berupa suatu pemaksaan ke atas masyarakat yang enggan (reluctant society) kerana jahil dan keliru.

Sementara itu mekanisme dan jentera pelaksananya juga harus dipersiapkan dengan tahap profesionalisme,  kompetensi dan integriti yang tinggi. Tahap kemampuan yang sedemikian adalah syarat yang tidak boleh dikompromikan demi menjamin tercapainya objektif keadilan,  mendidik serta menginsafkan penjenayah, dan lebih penting daripada itu dapat melindungi mangsa dan masyarakat seluruhnya.

Memang demikianlah falsafah hukum dalam Islam, tidak seperti undang-undang rekaan manusia yang  terkesan  bersimpati kepada penjenayah sehingga mengabaikan tanggungjawab melindungi korban. Akibatnya jenayah berleluasa, sedang masyarakat hidup dalam ketakutan.

Ternyata pelaksanaan hudud sebagai bahagian daripada pelaksanaan syari`at bukan hanya urusan para fuqaha’ dan ahli undang-undang, tetapi urusan kolektif pelbagai pihak:  penguasa, ahli politik, pentadbir, pendakwah, pendidik, ilmuwan, cendekiawan dan lain-lain.

Para penguasa harus berusaha menggunakan kuasa mereka sejauh yang dimungkinkan oleh realiti tempat, masa dan kemampuan. Pendakwah dan pendidik harus berjihad membina generasi dan umat Muslim yang komited, berjiwa dan berfikrah Islamiah. Para ilmuwan dan cendekiawan harus berjuang membasmi kejahilan dan kekeliruan masyarakat tentang hakikat syari`at termasuk hukum hudud.

Masyarakat umumnya harus disedarkan bahawa perjuangan mendaulatkan syari`at tidak hanya sebatas melaksanakan hukum jenayah,  tetapi mencakupi daerah yang lebih luas,  meliputi segala usaha ke arah kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang penuh barakah,  adil dan sejahtera, bermaruah dan berakhlak mulia. Segalanya diperjuangkan secara terpadu, seiring dan sehaluan.

Hukuman hudud ke atas pencuri misalnya, harus dilaksanakan seiring dengan perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menegakkan prinsip  keadilan sosial, pemerataan kueh negara, dan seterusnya memerangi amalan pembolotan kekayaan negara oleh kaum kroni. Dengan demikian hukuman hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan setelah mengambil  kira konteks sosio-ekonominya.

Andainya jenayah mencuri itu berlaku dalam keadaan kecukupan dan  taraf hidup yang selayaknya (reasonable),  wajarlah pelakunya dihukum hudud. Memang ia tidak layak hidup dalam masyarakat manusia yang beragama dan berbudaya.

Demikianlah hakikatnya, undang-undang jenayah Islam tidak dilaksanakan secara terpisah dari syari`at keseluruhannya. Ia selamanya terkait dan terpadu dengan komponen-komponen syari`at lainnya, termasuk komponen kerohanian seperti iman, taqwa, dan nilai-nilai akhlak mulia lainnya. Dalam masyarakat pengamal syari`at secara utuh dan terpadu seperti itu tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku.

Gambaran tentang  masyarakat yang penuh dengan potongan-potongan tangan yang berserakan akibat hukum hudud sebenarnya hanya imajinasi jahil dan mengada-ngada. Keadaan yang mengerikan seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pelaksanaan hukum hudud pada masa lalu.

Dalam kaitan ini terdapat catatan bahawa sepanjang sejarah generasi Islam seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga pertengahan era Umawi) hukuman hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali,  sementara hukuman hudud ke atas pencuri  dilaksanakan hanya empat kali sepanjang tempoh yang sama (seratus tahun).

Perjuangan mendaulatkan syari`at ketika ini terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa Islam,  terutama undang-undang jenayahnya telah lama dimomokkan dengan pelbagai label negatif: kejam, barbaric dan menakutkan.  Dalam kaitan inilah pentingnya usaha pemulihan citra Islam sebagai agama yang ramah dan pembawa rahmah.

Islam tidak datang untuk mendera,  tetapi untuk menyejahterakan (aslim taslam!).  Tanggapan negatif terhadap syari`at  di kalangan sebahagian umat Islam dan bukan  Islam harus ditangani dengan usaha pencerahan,  memberikan kefahaman menerusi pendekatan dialog yang meyakinkan dan penuh hikmah. Semua pihak, terutama warga bukan Islam seharusnya bersikap terbuka dan objektif dalam memahami dan mempersepsikan Islam. Untuk itu mereka perlu mewaspadai jebakan Islamophobia yang disebarkan oleh dalang-dalang konspirasi global.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,  semangat toleransi antara agama harus sentiasa dipupuk dengan menyuburkan sikap saling hormat, termasuk mengakui hak umat Islam mengamalkan agamanya  (`aqidah dan syari`at Islam),  sebagaimana umat Islam menghormati agama lain dan mengakui hak penganut-penganutnya mengamalkan agama masing-masing.

Dalam hal ini warga bukan Islam perlu memahami bahawa hak mengamalkan agama dalam konteks umat Islam adalah meliputi pengamalan hukum-hakam agama (Islam) dalam segala bidang, termasuk bidang hukum jenayah.

Justeru, pelaksanaan hukum hudud di kalangan umat Islam adalah sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri.

Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang  menghina dan  mempersenda agama.  Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media atau pemimpin masyarakat jelas tidak membina dan tidak mendidik, juga bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa yang beradab dan bertamadun.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Bangi: 05 Oktober 2011

Sunday, August 28, 2011

Kisah Mat Sabu: Antara kebenaran dan tuduhan.....

Bekas Polis Bantah Kenyataan Mat Sabu

(Dipetik dari UMNO Online)


BESUT, 28 Ogos – Persatuan Bekas Anggota Polis Negeri Terengganu yang mempunyai 4,500 anggota hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dianggap keterlaluan hingga sanggup menghina polis demi mencari populariti.

Pengerusinya Hussin Awang Ngah berkata tindakan Mohamad menyanjung komunis dan merendahkan maruah anggota keselamatan amat dikesali, sekaligus menunjukkan beliau telah terpengaruh dengan ideologi komunis.

“Saya hairan kenapa sekarang orang kuat nombor dua PAS itu baru menimbulkan perkara tersebut dan tidak membangkitkannya selama ini.

“Saya percaya, tujuannya tiada lain kerana beliau nak mencari populariti kerana tiada isu lain yang boleh dibangkit memandangkan pilihan raya umum telah hampir tiba,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini hari ini.

Kata Hussin, beliau sedih dengan pendirian Mohamad Sabu yang sanggup memainkan apa jua isu asalkan dirinya mendapat sokongan dalam kalangan penyokongnya.

Dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, Mohamad dilaporkan berkata pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Berita Bertarikh 28 August 2011 Pada 4:50 PM
 
 
Komunis: Utusan bohong, Mat Sabu akan saman
(Dipetik dari Harakahdaily) 

KANGAR, 29 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.

Mohamad Sabu berkata, beliau mengambil masa untuk menjawab isu itu kerana ingin mengenalpasti apa yang beliau katakan dengan tepat dalam ceramah itu.

"Saya tidak katapun Mat Indera itu Komunis, saya tidak sebut pun nama beberapa-beberapa Cina yang dilaporkan dalam akhbar itu bahkan selepas membaca laporan akhbar Umno itu baru saya tahu nama mereka," jelas Mohamad Sabu yang juga membuat sidang media khas di sini hari ini mengenainya.

Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.

"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.

Utusan dan pemimpin Umno menyerang Mohamad Sabu dengan tuduhan kononnya beliau menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.

Peristiwa Bukit Kepong terkenal kerana ia telah difilemkan oleh Datuk Jins Samsudin dengan filem berjodol Bukit Kepong.

Rakaman video Mohamad Sabu ketika berucap di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor baru-baru ini sampai ke tangan wartawan Harakah Pulau Pinang semalam.

Video itu kemudiannya disampaikan terus kepada Mohamad petang semalam dan ia dilihat beliau pagi tadi.

Rakaman yang diperolehi daripada seorang peminat tokoh nombor dua PAS itu dan diberikan kepada Mohamad yang hadir pada majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Kuala Bekah, Penaga bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng petang semalam.

Mohamad dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan akan meneliti terlebih dahulu ucapannya dalam rakaman berkenaan dan sekiranya didapati Utusan Malaysia sengaja menokoh tambah cerita yang bukan-bukan, maka tindakan undang-undang akan diambil.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Saya seolah sokong Komunis

"Berikutan dengan penyiaran berita itu, Radio dan Televisyen Malaysia serta TV3 terus menyiarkan dan membuat ulasan terhadap berita Utusan Malaysia itu, seolah-olah saya adalah penyokong perjuangan komunis bahkan saya adalah bapa komunis yang sebenar.

"Beberapa akhbar dan laman  blog meminta komen saya terhadap kecaman pelbagai pihak terhadap saya dan saya memberitahu mereka bahawa saya akan membuat pendirian apabila saya mendengar kembali ucapan saya tersebut kerana berita Utusan Malaysia tersebut hanya disiarkan seminggu selepas tarikh ceramah.

"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan berita muka depan dan muka 5 Utusan Malaysia, serta kecaman-kecaman yang berterusan disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 28 Ogos, maka saya dapati Utusan Malaysia telah memutar belit dan menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan parti saya (PAS)," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Ketika ditanya media tentang ucapannya, Mohamad berkata beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"Selepas mendengar balik ucapan saya itu, didapati saya berlaku percanggahan dengan berita yang disiarkan Utusan Malaysia. Malah saya sendiri tak pernah dengarpun nama Goh Pen Tun seperti yang disiarkan.

"Berita itu telah ditokok-tambah sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai dan menyebabkan saya dikecam, diancam dan difitnah di atas penyiaran berita oleh Utusan Malaysia itu," jelasnya.

Mengulas lanjut isu ini, Mohamad berkata penyiaran berita seumpama ini adalah suatu taktik parti pemerintah dengan menggunakan media arus perdana untuk mengalihkan isu sebenar yang lebih besar seperti kepincangan sistem pilihanraya di negara ini.

"Saya tak nampak sangat penyiaran berita ini bertujuan untuk menjatuhkan saya mahupun PAS, tetapi yang lebih besarnya mereka telah digunakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari isu Suruhanjaya Pilihanraya, isu pendatang asing sebagai pengundi serta pembongkaran PAS dan Bersih tentang kotornya daftar pemilih di negara ini.

"Ini yang mereka cuba alihkan dari pandangan orang ramai khususnnya sokonganorang-orang Melayu. Jadi mereka guna ucapan saya yang telah diselewengkan itu untuk mengalihkan isu yang lebih besar," jelasnya lagi.
 
 
 

Wednesday, August 24, 2011

JK Parlimen: PR vs BN.

Pakatan mungkin boikot PSC
(Dipetik dari Harakahdaily) 

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Pakatan Rakyat mungkin memboikot jawatankuasa khas parlimen (PSC) berhubung pembaharuan pilihan raya jika perdana menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih enggan bertindak terhadap isu pembersihan daftar pemilih yang dibangkitkan mereka.


Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS di sini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka memberi peluang sehingga awal Oktober depan sebelum memutuskan menyertai atau memboikot jawatankuasa tersebut.

Katanya, Ini kerana sehingga kini Datuk Seri Najib dan SPR gagal membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka untuk melakukan pembaharuan pilihan raya.

Malah katanya, kedua-duanya seperti tidak serius dengan penubuhan jawatankuasa khas tersebut apabila masing-masing mengeluarkan kenyataan bahawa pilihan raya umum ke-13 dan SPR tidak tertakluk kepada keputusan jawatankuasa tersebut.

"Mula-mula kita alu-alukan (penubuhan jawatankuasa ini), namun kenyataan perdana menteri (bahawa pilihan raya boleh diadakan tanpa menunggu keputusan jawatankuasa khas parlimen) dan kenyataan pengerusi SPR bahawa mereka tidak terikat dengan keputusan jawatankuasa itu, telah mengubah pendirian kita.

"Kita belum buat sebarang keputusan untuk memboikot tetapi menjelaskan bahawa kerajaan perlu menunjukkan niat baik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan segera, dan PM menunjukkan beliau serius dengan menjamin pilihan raya hanya akan diadakan selepas SPR telah mengambil langkah sewajarnya," katanya.

Beliau turut merujuk kepada beberapa gesaan yang dibuat pelbagai pihak berhubung isu pembersihan daftar pemilih khususnya pendedahan pemberian taraf warga negara kepada penduduk tetap demi kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita lihat mereka menggumumkan jawatankuasa khas parlimen ini hanya untuk melengahkan tindakan untuk membaiki sistem pilihan raya," katanya yang juga Ketua Umum PKR.

Turut serta pada sidang media itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Tidak serius, dolak dalik
Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, SPR sebenarnya mempunyai kuasa untuk melakukan pembaharuan pilihan raya tetapi berdolak dalih berhubung kuasa mereka.

"SPR kata mereka tidak ada kuasa seperti dalam forum bersama Datuk Ambiga baru-baru ini. Tapi sekarang kata ada kuasa sendiri (tak perlu tertakluk kepada jawatankuasa khas parlimen).

"Mereka sebenarnya ada kuasa untuk membersihkan daftar pemilih, melaksanakan dakwat kekal, dan tempoh kempen lebih lama.

"Semua ini boleh dilakukan kalau dia nak, cuma dia berdolak dalih," katanya.

Katanya, semua tuntutan itu boleh dibuat SPR tanpa memerlukan pembentukan jawatankuasa khas parlimen yang dijangka dibentuk pada sidang parlimen Oktober ini.


Pembangkang Tak Perlu Persoal Keikhlasan Najib Tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

(Dipetik dari UMNO Online)

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang mempersoalkan keikhlasan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan meminta pakatan pembangkang agar menyertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya yang bakal ditubuhkan Oktober ini


“Pembangkang desak Barisan Nasional (BN) macam-macam, kini bila BN cadangkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen kenapa pula nak pulaukan. BN, pembangkang dan Bebas wajar membawa pemikiran-pemikiran yang bernas untuk bukan sekadar memperbaiki sistem pilihan raya sahaja tetapi juga keseluruhan amalan demokrasi di negara ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Pakatan pembangkang akan memutuskan pendirian sama ada mahu menyertai jawatankuasa itu esok dengan beberapa pemimpin utama berkata kemungkinan akan memulaukan jawatankuasa itu jika tidak memenuhi syarat perikatan tersebut.

Jelas Saifuddin, pentadbiran Najib ikhlas untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas itu selain komited bagi melakukan reformasi pilihan raya

“Ini penting dalam mewujudkan amalan politik baru bagi mematangkan demokrasi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Saya beranggapan bahawa jawatankuasa ini perlu melihat sistem pilihan raya kita dengan holistik, ia perlu mengkaji perkara-perkara dasar dalam sistem pilihan raya dan amalan demokrasi kita termasuk menilai sejauh mana kita melaksanakan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pilihan raya dan demokrasi.

“Oleh kerana jawatankuasa ini perlu melihat sistem pilihan raya secara keseluruhan maka mana-mana perkara yang boleh dijalankan dengan segera perlulah dilaksanakan segera iaitu dalam pilihan raya umum ke-13 tetapi mana-mana perkara yang memerlukan perubahan yang besar contohnya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, maka ia mungkin tidak sempat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Justeru kata Ahli Parlimen Temerloh ini, berharap pembangkang tidak menjadikan keengganan kerajaan mahu melaksanakan semua tuntutan bersih 2.0 sebagai alasan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu.

Jumaat lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Pilihan Raya Umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas.

Datuk Seri Najib juga meminta pihak-pihak yang mempertikaikan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya agar tidak meragui keikhlasan kerajaan meskipun kemungkinan pilihan raya umum ke-13 diadakan lebih awal.

“Dalam hal ini saya rasa jawatankuasa perlu menetapkan rancangan pelaksanaannya dulu seandainya apabila tempoh mandat Parlimen telah tamat dan masih ada perkara yang belum diputuskan maka pilihan raya umum ke-13 tetap akan diadakan. Sesiapa pun tidak boleh semua kerja-kerja jawatankuasa ini akan siap sebelum April 2013 jamin,” katanya.

Bagaimanapun jelas Saifuddin beliau juga meminta semua pihak termasuk Pakatan pembangkang agar bertenang sehingga jawatankuasa pilihan khas itu ditubuhkan memandangkan fungsi dan tugas jawatankuasa itu hanya akan diketahui selepas ia ditubuhkan. – MediaUMNO

Berita Bertarikh 23 August 2011 Pada 11:54 AM



Friday, August 19, 2011

JK Parlimen mengenai pilihanraya: BN kata begini, PR kata begitu

Pembangkang Habis Modal, Cuba Pertikai Jawatankuasa Terpilih Parlimen

(Dipetik dari UMNO Online)

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas anggota Parlimen pembangkang yang sengaja menjadikan jawatankuasa terpilih Parlimen sebagai bahan untuk dimanipulasikan sedangkan ia sepatutnya mendapat sokongan berdasarkan kepada matlamat penubuhannya.


Katanya, pembangkang sememangnya berniat tidak ikhlas apabila awal-awal lagi mahukan kuasa pentadbiran dan kepimpinan jawatankuasa tersebut diberikan kepada mereka sedangkan ia sewajarnya mengikut majoriti dalam Parlimen.

“Pembangkang beri alasan untuk ketuai kepimpinan jawatankuasa tersebut kononnya untuk mencerminkan konsep demokrasi sebenar walhal sekiranya tidak ada demokrasi tentulah jawatankuasa ini akan dianggotai sepenuhnya oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN),” katanya.

Isnin lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dalam usaha untuk menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

“Jika Datuk Seri Najib dan kerajaan BN tidak ikhlas, maka tentunya tidak akan ada wakil dari anggota Parlimen pembangkang dan bebas dalam jawatankuasa ini tapi ketetapan telah dibuat bahawa mereka juga akan turut terlibat bagi membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini,” katanya.

Dilaporkan Kabinet bersetuju usul mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut dan akan dibentangkan pada persidangan Parlimen Oktober depan yang akan dianggotai oleh sembilan wakil rakyat terdiri daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Ekoran itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan jawatankuasa tersebut sudah tempang ekoran tidak diketuai pembangkang selain hanya dianggotai oleh tiga orang wakil mereka.

“Kerajaan telus untuk mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini selain membuktikan bahawa kerajaan sedia membuat pembaharuan agar sistem pilihan raya negara dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sepatutnya pembangkang berbesar hati untuk sama-sama menyumbang idea dalam memastikan tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan tercapai.

“Sepatutnya perkara siapa yang menerajui jawatankuasa ini bukanlah isu utama kerana apa yang penting adalah pengisian dan input-input yang boleh digunapakai dalam menyumbang ke arah pelaksanaan yang mantap dan berkesan,” katanya.

Justeru, Tengku Adnan yang juga ahli Parlimen Putrajaya meminta agar wakil rakyat pembangkang bersikap matang dan rasional serta tidak menjadikan penubuhan dan kepimpinan dalam jawatankuasa terpilih parlimen sebagai bahan polemik untuk disensasikan.

“Penubuhan jawatankuasa ini dilaksanakan sebagai usaha terbaik bagi memperbaiki proses pilihan raya dalam negara kita selain menjadi bukti bahawa BN tidak takut kepada pembaharuan kerana apa yang penting siapa pun yang memerintah negara ini mestilah berasaskan kepada kehendak rakyat sebenar.

“Jika kerajaan tidak telus dan mempunyai pengaruh dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana yang didakwa pembangkang maka tentulah jawatankuasa ini tidak perlu ditubuhkan apatah lagi melibatkan keanggotaan pelbagai parti termasuk wakil dari pembangkang dan bebas,” tegasnya. – MediaUMNO

Berita Bertarikh 18 August 2011 Pada 3:42 PM


JK Parlimen: Pakatan tidak diajak berunding
(Dipetik dari Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Pakatan Rakyat tidak berprasangka buruk terhadap komitmen kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

Beliau berkata, kenyataan itu hanyalah untuk menutup kesilapan mereka tidak memanggil Pakatan Rakyat untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan.

"Perkara yang paling penting untuk diingatkan ialah kita (Pakatan Rakyat) langsung tidak dirundingkan dalam penubuhan Jawatankuaasa Khas Terpilih Parlimen ini dan kita rasa bahawa kita mungkin boleh bersetuju dan mungkin tidak bersetuju untuk menyertai jawatankuasa khas ini.

"Macammana mereka kata kita bersangka buruk sedangkan kita bersedia untuk bekerjasama dan menyertai jawatankuasa Parlimen ini jika kita dipanggil untuk merundingkan perkara ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Muhyiddin semalam meminta Pakatan Rakyat menggunakan kesempatan berkenaan sebagai medium untuk mengemukakan sebarang isu yang dibangkitkan sebelum ini bagi menambah baik sistem sedia ada.

Namun sambil menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai 'penghias jendela' sahaja, Salahuddin juga berkata, jawatankuasa tersebut tidak mungkin mencapai matlamat iaitu melakukan perubahan dalam sistem pilihan raya sekiranya ia dibincangkan satu hala sahaja dan pengerusinya akan terdiri daripada pihak kerajaan sendiri.

"Apabila mereka hanya menggunakan pendekatan sehala sahaja tanpa berunding tentang penubuhan ini, apa maknanya pembaharuan pilihan raya yang mereka nak buat sedangkan tidak mungkin jawatankuasa ini akan mencapai matlamat sekiranya pengerusinya sudah pasti seorang menteri dan mereka majoriti dalam jawatankuasa ini.

"Ini hanya penghias jendela sahaja dan ini membuktikan kerajaan tidak serius menangani isu yang kita tuntut dan jawatankuasa ini sekadar melepaskan batuk di tangga dan untuk mengalih pandangan daripada isu sebenar," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bincang sertai atau tidak

Sehubungan itu beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan samaada akan menerima atau menolak jawatankuasa tersebut.

"Pakatan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan bersetuju atau tidak untuk menyertai jawatankuasa ini.

"Tapi kalau beginilah caranya kita kecewa dengan kerajaan," katanya.

Kabinet semalam memutuskan Jawatankuasa Pemilih Parlimen akan dianggotai sembilan ahli Parlimen.

Mereka terdiri daripada lima wakil BN, tiga Pakatan Rakyat dan seorang ahli Parlimen Bebas.

Usul bagi penubuhan jawatankuasa khas berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen Oktober ini.
 

Wednesday, August 17, 2011

Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi melakukan reformasi pilihan raya pada sudut pandangan BN dan PR

Penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi lakukan reformasi: PM
(Dipetik dari Berita Harian Online)

KLANG: Datuk Seri Najib Razak menegaskan keputusan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi melakukan reformasi pilihan raya bukan bermakna pilihan raya di negara ini songsang, sebaliknya ia mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk melakukan pembaharuan supaya pilihan raya dilihat bersih dan adil.

“Ini bukan pengakuan tidak langsung yang pilihan raya songsang dalam negara kita. Jika songsang, kita tak ‘serah’ Selangor kepada pembangkang. Kita kalah pada pilihan raya lalu, tetapi kita pinjamkan sementara saja kepada pembangkang.

“Kita boleh melakukan yang terbaik dan memperbaiki proses pilihan raya. Kita tidak takut pembaharuan, tetapi ingin memastikan siapa yang memerintah negara mesti berasas kepada kehendak rakyat sebenar,” kata Perdana Menteri pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Pangsapuri Seri Perantau, Selat Klang di sini, semalam.

Najib berkata, sebagai Perdana Menteri beliau berasa amat bertuah kerana penduduk di negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni, berbanding rakan sejawatannya di United Kingdom yang baru-baru ini berdepan rusuhan.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat agar tidak memperkecilkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi sekarang.

“Saya dapat rasakan perasaan rakan saya, PM (Perdana Menteri) Britain (David Cameron) yang berdepan dengan rusuhan, bukan sekali, tetapi beberapa hari dalam sebuah negara yang dulunya menjajah kita yang dianggap sebagai negara yang membawa kepada amalan demokrasi berparlimen.

“Bagaimanapun, PM Britain hari ini menyatakan bahawa masyarakat dia sudah dinodai dengan akhlak membawa kepada masyarakat yang banyak penyakit,” katanya.

Selepas berbuka puasa dan mengerjakan solat Maghrib di Surau An-Nur, Najib kemudian ke Masjid As-Syaadah di Bandar Sultan Sulaiman untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih berjemaah.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Najib semalam memilih sepasang pakaian rasmi sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 yang ditunda ke 16 September ini, serentak dengan sambutan Hari Malaysia, tahun ini.

Pakaian yang dipilih itu, masing-masing satu bagi pakaian lelaki dan wanita adalah daripada tiga rekaan pakaian lelaki dan wanita oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia yang diperagakan kepada Perdana Menteri di sini.

Antara yang turut menyaksikan rekaan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, beberapa anggota jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.



Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hanya untuk kaburi mata rakyat
(Dipetik dari Harakahdaily)
 
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen  yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekadar untuk mengaburi mata rakyat.

Ini kerana penubuhan jawatankuasa tersebut untuk menambah baik proses pilihan raya, tidak dirunding bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan bersifat berat sebelah, lapor Keadilan Daily.

“Kalau dikatakan ada jawatankuasa khas yang ditubuh, itu hanyalah untuk mengaburi mata kita sebab ini tidak dibincangkan dengan pihak pembangkang di parlimen. Sistem ini juga berat sebelah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 300 pesakit semalam.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga membuktikan kerajaan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui wujud kepincangan pilihan raya.

“Sebab itu perlunya reformasi dalam pembersihan undi, macam-macam yang telah dilakukan termasuk protes dan perbincangan oleh Badan Bukan Kerajaan, (NGO).  Protes ini (Bersih) bukan kali pertama dibuat, tapi masih lagi tidak ada perubahan.

“Apa yang kita tengok makin teruk dan kita perlu dedahkan lebih supaya kerajaan ambil langkah-langkah yang kukuh dan mantap. Kenalah mengambil kira pandangan pembangkang, sekurang-kurangnya Perdana Menteri mengakui memang ada kepincangan dalam sistem pilihanraya,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Azizah menyifatkan kongkongan kebebasan media yang dilakukan Umno-BN, sebagai perkara yang memalukan negara.

Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan mengenai usaha mengurangkan penapisan media namun ia berlaku sebaliknya apabila jurugambar Suara Keadilan, Yuisriah Yusof dipanggil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM).

“Malaysia jatuh pada tangga bawah kerana kongkongan dalam kebebasan media ini amatlah memalukan negara.

“Kita di Selangor mengadakan kebebasan media (Akta Kebebasan Maklumat). Itu yang kita nak supaya kita dapat sesuatu yang akan sampaikan kepada rakyat. Jadi rakyat boleh mengetahui pemimpin mereka dan boleh membuat pilihan,” kata beliau.
 



p/s: PR dan BN punyai pandangan berbeza mengenai Jawatankuasa Khas Pemilih ini. Yang mana betul? Wallahualam.

Monday, August 15, 2011

"Pak Pandir" jadi popular dalam media UMNO dan Pas?

Pas Macam Pak Pandir Untuk Selamatkan Diri Dalam Isu JAIS – Gereja

(Dipetik dari UMNO Online)

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Pas dilihat seperti Pak Pandir dalam mencari jalan selamat berhubung isu membabitkan JAIS dengan sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini dengan menuduh UMNO sebagai dalang terhadap apa yang berlaku.

Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamad menyifatkan tuduhan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sebagai tuduhan liar serta tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk menyelamatkan diri apabila melihat isu berkenaan memberi tekanan kepada parti itu termasuk di kalangan penyokongnya.

“Pas kini berada dalam keadaan tertekan, isu berkenaan telah menyebabkan parti terbahagi kepada dua, satu pihak menyokong dan mempertahankan apa yang dilakukan oleh JAIS, manakala satu pihak lagi cuba bermain selamat dengan mengatakan itu bukan tindakan Pas tetapi adalah tindakan kerajaan negeri.

“Kita nak tanya dengan pemimpin Pas terutamanya Timbalan Pesuruhanjaya Pas Selangor (Khalid Samad), Selangor ini diperintah siapa, bukankah diperintah oleh pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas, PKR dan DAP.

“Bukankah Dr Hasan Ali itu, exco kerajaan negeri yang mewakili Pas, bagaimana dia boleh mengatakan kenyataan Hasan Ali sebagai kenyataan kerajaan negeri bukannya kenyataan Pas Selangor. Apakah dalam perkara ini Pas tidak bersama dengan kerajaan negeri dan Hasan Ali adalah wakil individu,” katanya kepada UMNO-Online.

Mohd Zin berkata, tindakan Pas menuding jari kepada UMNO bukanlah perkara baru, malah Pas akan cuba mencari jalan untuk menjadikan mana-mana pihak termasuk individu sebagai kambing hitam terhadap apa jua masalah yang dihadapi.

“Datuk Mustapha Ali (Setiausaha Agung Pas) cuba menyelamatkan Pas dalam masalah JAIS dengan pihak gereja, untuk itu mereka tuduh UMNO sebagai dalang, sebelum ini Dr Hasan Ali menjadi kambing hitam apabila menyifatkan tindakannya sebagai tindakan peribadi bukannya parti.

“Tuduhan Pas kepada UMNO untuk menyelamatkan diri, bukanlah pertama kali berlaku, sebelum ini juga Pas turut menuding pihak lain jika dilihat perkara itu boleh memberi kesan kepada hubungannya dengan parti lain dalam pakatan pembangkang.

“Pas ini bolehlah dinaggap sebagai sebuah parti sesumpah, boleh bertukar apa sahaja, kalau dulu sebagai parti Islam, kini jadi parti berkebajikan, ini semua hendak pasti mereka dapat duduk bersama dengan DAP,” katanya.

Menurutnya, Pas kini berada dalam keadaan tertekan berhubung isu berkenaan kerana sebelum ini mereka cuba menjadi juara kepada bukan Islam dengan mengatakan tiada pembabitan parti itu berhubung apa yang berlaku.

Namun apa yang dilakukan itu telah memberi kesan sehingga menyebabkan sokongan orang Islam dan Melayu kepada parti itu mula goyah kerana sikap kepimpinan parti itu yang dilihat lebih mengutamakan kepentingan politik daripada kepentingan agama dan orang Melayu.

“Pas kini sudah tidak punyai hala tuju, sejak mereka bersama DAP dan PKR, Pas sudah hilang suara dalam memperjuangkan hak orang Islam dan Melayu di negara ini, mereka terpaksa tunduk kepada DAP untuk kepentingan politik.

“Berikutan ada desakan dalam Pas berhubung isu berkenaan, Pas terpaksa menuduh UMNO sebagai dalang dan berharap apa yang berlaku adalah perancangan UMNO menggunakan JAIS,” katanya.

Mohd Zin berkata, UMNO tidak pernah berkompromi apabila membabitkan isu agama serta kepentingan dan hak orang Melayu di negara ini, namun apa yang diperjuang atau dipertahankan hak kaum dan agama lain tidak diketepikan.

“Memperjuangkan hak serta kepentingan orang Melayu dan Islam adalah perjuangan UMNO. UMNO konsisten dalam perkara ini, namun kepentingan kaum dan agama lain turut dipertahankan bagai memastikan rakyat negara ini hidup aman,” katanya.

Beliau berkata, berhubung isu membabitkan agama dan kaum di negara ini, sudah ada persefahaman antara UMNO dengan parti komponen lain dalam Barisan Nasional apabila membabitkan isu berkenaan. -MediaUMNO

Berita Bertarikh 16 August 2011 Pada 10:27 AM


Jawapan SPR macam Pak Pandir
(Dipetik dari Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS kesal dengan sikap lepas tangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini yang menyatakan “tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini” sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih negara.

“Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan "bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak.

"Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada,” bidas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Setelah diasak bertubi-tubi dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR, yang telah berkeras kepala dalam menafikan kelemahannya selama ini akhirnya terpaksa membuat pusingan U dan mengakui bahawa mereka sedar ada kelemahan dalam daftar pemilih negara.

Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Abdul Aziz sekadar menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.

“Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama ... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.

"Janganlah perbesarkan kesilapan ini, semua yang berlaku ini tidak dirancang oleh SPR, SPR bukan sengaja mahu benarkan mereka mengundi dua kali, kadang-kadang akan berlaku kesilapan semasa pendataan (oleh JPN), silap letak dan kami akan semak, kalau tak betul kami akan buang,” jelasnya sebagai reaksi balas kepada bukti-bukti yang dikemukakan PAS dan Pakatan Rakyat mengenai  isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu yang terdiri daripada ahli Umno sendiri dan nama pengundi yang tidak wujud di sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR. 
 
Ketidakikhlasan SPR dalam memperbaiki sistemnya cukup terserlah dalam isu nama Kg Baru (MyKad: 830527115422) yang didaftarkan sebagai pengundi, dimana SPR hanya menukar nama Kg Baru kepada nama pengundi “Noraini binti Abdullah” berdasarkan data JPN tanpa usul periksa mengapa kesilapan demikian boleh berlaku.

“Demikian juga pendedahan warga asing yang mendapat kerakyatan, dan didaftarkan sebagai pengundi dengan jumlah ribuan orang adalah gambaran kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR. "Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan Bersih 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Walaupun SPR dan pihak berkuasa yang di bawah telunjuk Umno Barisan Nasional terus menggambarkan perhimpunan Bersih 2.0 dengan nada yang sangat negatif, Tuan Ibrahim berkata dari segi positif perkara ini turut menyebabkan rakyat juga telah mula membuka mata dan dapat melihat betapa kotornya sistem pilihanraya negara kita yang dipenuhi dengan sampah sarap dan diancam oleh pendatang asing yang mendapat kerakyatan dan hak mengundi dengan begitu senang.

“Bayangkanlah, undi warga asing sudah boleh menentukan keputusan politik dan masa depan negara – siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?” soal Tuan Ibrahim.

SPR, katanya perlu melakukan segera satu reformasi bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

“Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihanraya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihanraya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihanraya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.

"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihanraya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya,” kata beliau.
   






p/s: nampaknya penggunaan nama Pak Pandir gemar digunakan oleh media BN dan media PR...






  

Sunday, August 14, 2011

Menghancurkan UMNO

(Dipetik dari chedet.cc/blog- blog Tun Dr. Mahathir Mohamad)

Che Det
 
1. Usaha sedang dibuat untuk melemahkan lagi UMNO supaya ia dapat dikalahkan dalam Pilihanraya Umum ke-13, bahkan jika boleh untuk menghancurkan UMNO sekarang ini juga. 

2. Laporan dalam portal berita, oleh Muda Mohd Noor, mencerita berkenaan Penawar, sebuah badan bukan Kerajaan yang disertai oleh beberapa bekas ahli Parlimen UMNO yang kononnya tidak puas hati dengan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri.
 

3. Kononnya saya dibelakang gerakan untuk menaikkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengganti Najib.


4. Kesan dari laporan ini tentulah kecurigaan Najib terhadap timbalannya. Apabila Najib mempunyai sangkaan buruk terhadap Muhyiddin maka ahli-ahli UMNO pun akan berpecah dan memihak kepada Presiden atau Timbalan Presiden. 5. Pergolakan akan berlaku secara serius dalam UMNO dan ia akan menjadi lebih lemah untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.
 

6. Terdahulu dari ini seorang pemberita semasa sidang akhbar telah bertanya kepada Najib samada dia lebih Melayu atau lebih Malaysian.
 

7. Soalan ini sengaja dibuat kerana Muhyiddin biasa mendakwa yang dianya lebih Melayu daripada Malaysian.
 

8. Sebenarnya soalan ini patut ditujukan kepada semua rakyat Malaysia, termasuk pemberita yang bertanya. Apakah rakyat Malaysia pelbagai keturunan lebih utama kaumnya atau lebih utamakan kerakyatan Malaysianya?
 

9. Ditujukan soalan ini kepada Najib ialah supaya dia menghadapi dilema. Jika dia menjawab dia lebih Melayu maka dia akan dituduh racist seperti tuduhan yang dilemparkan kepada Muhyiddin dan juga saya.
 

10. Sebaliknya kalau dia menjawab dia lebih Malaysian supaya tidak dituduh racist maka akan ternampak yang dia tidak secocok dengan timbalannya.
 

11. Jawapan Najib kepada soalan ini ialah dia tidak ingin dilihat tidak sependapat dengan timbalannya.
 

12. Secara tidak langsung ini bermakna dia lebih Malaysian, tidak seperti timbalannya yang menyatakan dia lebih Melayu. Sudah tentu ini akan menjadikan hubungan antara dua pemimpin UMNO lebih renggang.
 

13. Susulan daripada ini terdengar banyaklah berita angin berkenaan dengan renggangnya hubungan antara Najib dan Muhyiddin yang pasti akan memecahbelahkan UMNO lagi.
 

14. Hari ini terdapat banyak NGO Melayu ditubuh kerana ramai orang Melayu khuatir berkenaan dengan masa depan mereka. Pihak tertentu yang ingin mengurangkan sokongan Melayu kepada UMNO ingin menentukan NGO Melayu ini tidak berupaya mempengaruhi kepimpinan UMNO supaya terus mendapat sokongan orang Melayu.
 

15. Strategi pihak tertentu ini ialah dengan membuat tuduhan bahawa perjumpaan NGO ini sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib, dan saya dan Muhyiddin adalah dalang yang bertanggungjawab, tentulah Najib akan mempunyai syak wasangka terhadap kami berdua dan NGO berkenaan.
 

16. Sekaligus laporan ini menakutkan Penawar dan NGO lain bahawa mesyuarat mereka akan disyaki oleh Najib bertujuan menjatuhkannya. Mereka juga akan terdedah kepada tuduhan yang mereka adalah orang Mahathir dan Mahathir ingin menjatuhkan Najib.
 

17. Dengan tuduhan-tuduhan dan laporan seperti ini maka orang Melayu akan takut berpolitik. Mereka akan terdedah kepada dakyah parti lawan yang memang pun ingin melihat mereka berpecah dan menjadi lebih lemah serta tidak dapat mempertahankan kepentingan orang Melayu sama sekali.
 

18. Saya ucap tahniah kepada mereka yang begitu cekap mengguna psikologi untuk menghancurkan UMNO dengan menimbulkan keraguan dan syak wasangka antara pemimpin-pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya terhadap masing-masing dan terhadap kepimpinan UMNO sekarang.
 

19. Sebaliknya jika kita ingin tahu berkenaan siapa lebih Malaysian atau lebih utamakan kaumnya, kita patut tanya semua pemimpin-pemimpin semua parti politik dan NGO yag aktif dalam politik baik dari parti pemerintah ataupun parti lawan.
 

20. Mereka juga patut jelas apakah maknanya lebih Malaysian atau lebih utamakan kaum sendiri.
 

21. Saya sedar jawapan kepada soalan saya ialah saya racist (perkauman). Ini membuktikan ketandusan hujah yang boleh dikemukakan oleh mereka.
 

22. Saya pernah dilabel Malay ultra tetapi sepanjang saya menjadi Perdana Menteri apakah Melayu sahaja yang diberi layanan dan mendapat nikmat.
 

23. Apakah pembangunan Malaysia dihasilkan oleh orang Melayu semata-mata dan mereka sahaja yang meraih kekayaan.
 

24. Untuk tidak berat sebelah kita perlu mengumpul fakta yang benar berkenaan nikmat yang diperolehi rakyat Malaysia dan pembangunan Negara